Assalamualaikum ustaz, Apakah hukum menggugurkan kandungan di awal
kehamilan (sekitar 2 minggu) kerana masih belajar dan tidak mampu utk membayar
kos pengajian sekiranya menunda pelajaran selepas bersalin? Wsalam wbt
Jawapan : Sepakat ulama’ mengatakan bahawa haram hukumnya
menggugurkan kandungan setelah ditiup ruh tanpa sebab-sebab yang dikategorikan
sebagai darurat. Usia kandungan yang ditiupkan ruh itu adalah selepas kandungan
itu berusia empat bulan atau 120 hari kehamilan.[1] Ini berdasarkan dalil:
Abdullah bin Mas’ud berkata bahawa Rasulullah s.a.w. telah
bersabda : Sesungguhnya setiap kamu terkumpul kejadiannyadalam perut ibumu
selama 40 hari dalam bentuk nutfah, kemudian dalam bentuk ‘alaqah selama itu
pula, kemudian dalam bentuk mudghah selama itu pula, kemudian ditiupkan ruh
kepadanya. (HR al-Bukhary, Muslim, Abu Daud, Ahmad dan Tirmizi)
Adapun menggugurkan kandungan sebelum ditiupkan ruh kepadanya,
berlaku perbincangan di kalangan ulama’ namun secara ringkasnya adalah seperti
berikut:
* Harus hukumnya menggugurkan janin dalam tempoh 40 hari
kehamilannya sebab dalam tempoh ini kandungan masih tidak bernyawa.[2] Namun
ada pendokong pandangan ini meletakkan syarat tertentu seperti kandungan akan
memudaratkan isteri jika diteruskan, putus susu kepada anak yang sedia ada
disebabkan kandungan yang baru sedangkan suami tidak berkemampuan untuk
mengupah orang lain menyusukan anaknya, mendapat persetujuan suami isteri,
pengguguran ini tidak membahayakan nyawa ibu dan lain-lain.
* Makruh hukumnya.[3]
* Haram secara mutlak kerana persenyawaan telah berlaku dan ia
akan hidup. Imam al-Ghazali mengatakan ia adalah satu bentuk jenayah ke atas
benda wujud yang akan terjadi.[4] Manakala Ibnu Jauzi mengatakan perbuatan itu
tetap dikira berdosa walaupun tidaklah sama dengan menggugurkannya setelah
ditiupkan ruh.[5]
Saya berpandangan – Wallahu a’lam – menggugurkan kandungan yang
berusia belum sampai tempoh 40 hari adalah harus kerana ia hanyalah gumpalan
darah, belum membentuk sifat-sifat paling minima sebagai manusia. Ia juga
seperti ‘azl (coitus
interruptus). Ia merupakan tindakan mengeluarkan sperma di luar
vagina perempuan apabila suami tidak mengkehendaki kehamilan berlaku kepada
isterinya. Nabi s.a.w. pernah membenarkan perkara ini berlaku kepada seorang
sahabat dengan sabdanya: “Lakukanlah ‘azl padanya jika kamu suka!” (HR. Ahmad,
Muslim)
Adapun menggugurkan kandungan yang berusia 40 hari dan lebih, saya
berpandangan – wallahu a’lam – termasuk dalam larangan yang difahami dari sabda
Rasulullah s.a.w. kerana pada tempoh itu gumpalan darah sudah terbentuk dengan
sifat-sifat minima sebagai manusia.
“Jika nutfah (gumpalan darah) telah melalui empat puluh dua malam,
maka Allah mengutus seorang malaikat padanya, lalu dia membentuk nutfah
tersebut; dia membuat pendengarannya, penglihatannya, kulitnya, dagingnya, dan
tulang belulangnya. Lalu malaikat itu bertanya (kepada Allah), ‘Ya
Tuhanku, apakah dia (akan Engkau tetapkan) menjadi laki-laki atau perempuan?’
Maka Allah kemudian memberi keputusan" (HR Muslim)
Meletakkan sebab-sebab ekonomi sebagai alasan untuk menggugurkan
kandungan, pada pandangan saya – wallahu a’lam- adalah perkara yang telah
diperingatkan oleh Allah dalam beberapa ayat sebagai alasan yang tidak kukuh
dalam syara’. Antara firman Allah berkenaan adalah:-
“Janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan,
(sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka” (QS
al-An’am 151)
“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan
kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu.
Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.” (QS
al-Isra’ 31)
[1]Rujuk Fatawa Ibnu Taimiyah, Hasyiah Ad-Dusuqi, Nihayatul
Muhtaj, al-Furu’;al-Muhalla .
[2]Rujuk Hasyiah Ibnu Abidin, Hasyiah ar-Rahuni , Nihayatul Muhtaj
,al-Furu’.
[3]Rujuk Jamie al-Fusulin , Fatawa Khaniyah , Hasyiah Ibnu Abidin
, Nihayatul Muhtaj , al-Furu’ .
[4] Rujuk Ihya’ Ulumiddin
[5] rujuk Ahkam an-Nisa’
Disediakan oleh:
Ustaz Zamri Hashim
Sekretariat MUIS (Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia)
muis.ismaweb.net
Ustaz Zamri Hashim
Sekretariat MUIS (Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia)
muis.ismaweb.net
Tidak ada komentar:
Posting Komentar