Adab
bercinta dalam islam
Dalam surah ar-Rum ayat 21 Allah
menyatakan, “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah bahawa Dia
menciptakan isteri-isteri bagimu dari kalangan kamu sendiri supaya kamu dapat
hidup tenang bersama mereka dan diadakan-Nya cinta kasih sayang antara kamu.
Sungguh, dalam yang demikian ada tanda-tanda bagi orang yang menggunakan
fikiran”
ISLAM
menggariskan akhlak yang terbaik untuk merealisasikan percintaan sesama lelaki
dan perempuan yang mukalaf. Terdapat tiga peringkat percintaan yang mana orang
Islam hendaklah mencuba sedaya upaya mereka untuk memelihara kesucian cinta itu
daripada dicemari unsur-unsur maksiat dan perkara-perkara yang dapat membawa
kepada kemurkaan Allah. Tiga peringkat tersebut adalah cinta sebelum
perkahwinan, cinta selepas bertunang dan cinta selepas perkahwinan.
Cinta Sebelum Kahwin
Cinta
sebelum perkahwinan adalah cinta yang hadir daripada pergaulan harian dengan individu
yang mempunyai kesamaan daripada segi cita rasa, peribadi, minat dan cara
hidup. Ada kalanya cinta ini adalah cinta pandang pertama yang hadir secara
mendadak, dan ia juga mungkin cinta yang dibina secara berperingkat melalui
pertemuan dan pergaulan harian. Cinta sebelum perkahwinan biasanya tidak
digalakkan dalam Islam, kerana dikhuatiri akan menjerumuskan pencinta itu ke
kancah maksiat dan kelalaian dalam percintaan. Walau bagaimanapun, jika
percintaan itu mempunyai matlamat suci, iaitu untuk membawa pencinta itu ke
jinjing pelamin dan ikatan yang sah, maka sebagai pencinta yang beriman dan
takutkan Allah, mereka haruslah menjaga dan memelihara perkara-perkara berikut:
1.Menjaga
batas-batas pergaulan dengan tidak menyentuh sesama sendiri, tidak membuang
masa berjam-jam dengan bertelefon atau berbual-bual, dan tidak menjadikan
pergaulan mereka seperti suami isteri yang sudah sah dinikahkan. Mereka harus
sedar dan berasa malu kerana mereka masih belum mempunyai sebarang hak ke atas
satu sama lain.
2.Menghormati
maruah dan harga diri masing-masing, dalam erti kata lain tidak membenarkan
diri berdua-duaan dengan kekasih, kerana orang yang ketiga adalah syaitan. Di
samping itu tidak berhias-hias atau menampakkan perhiasan di hadapan kekasih
kerana dikhuatiri boleh menaikkan nafsu syahwat kekasih. Sebaik-baiknya
sebarang pertemuan hendaklah melibatkan mahram atau ibu bapa yang mengawasi
tingkah laku mereka.
3.Mendapat restu dan kebenaran dari ibu bapa adalah faktor
kejayaan dalam percintaan sebelum perkahwinan. Restu daripada ibu bapa
memudahkan proses pertunangan dan pernikahan yang akan berlangsung sebagai
kelangsungan daripada cinta itu. Ibu bapa harus memainkan peranan dengan
memastikan anak-anak tidak melupakan tanggungjawab peribadi dan batasan akhlak
dan ajaran agama semasa bercinta
.
.
4.Berdoa
dan menunaikan solat hajat supaya percintaan yang dimiliki akan diredai dan
diberkati Allah. Bermohon kepada Allah supaya cinta itu dapat membawa kepada
kesempurnaan peribadi dan kesempurnaan agama dengan mendirikan rumah tangga dan
memelihara kelangsungan cinta itu.
5.Sentiasa melakukan solat Istikharah bagi meneguhkan hati
supaya orang yang dicintai itu adalah yang terbaik untuk menjadi pasangan hidup
sehingga ke akhir hayat. Janganlah mencintai seseorang kerana harta, rupa atau
keturunannya, tetapi cintailah dia kerana agama dan kemuliaan akhlaknya. Solat
istikharah membantu supaya individu yang bercinta itu tidak menyesal dengan
pilihannya dan dia wajiblah menjuruskan percintaannya itu untuk mendirikan
rumah tangga yang terpelihara. Sekiranya dia bercinta tanpa niat untuk berumah
tangga tetapi sekadar ingin bermain-main dan bersuka ria, maka percintaan itu
adalah penipuan dan setiap perbuatan ke arah itu mencetuskan dosa dan kemurkaan
Allah.
Setiap
perbuatan cinta seperti menyentuh kekasih, bersalaman, berdating, berpelukan
dan bercanda adalah dilarang sebelum perkahwinan. Sebagai hamba Allah yang
takut kepada kemaksiatan dan kehinaan hidup di dunia, pasangan kekasih
hendaklah berasa malu untuk mempamerkan ‘cinta terlarang’ mereka kerana belum
lagi diiktiraf oleh perkahwinan yang dituntut oleh syarak. Tetapi sebaliknya,
apabila diikat dengan ikatan perkahwinan yang sah, perbuatan-perbuatan itu
mendatangkan pahala dengan syarat suami isteri itu berusaha untuk menjaga
batasan akhlak dan kesopanan tingkah laku apabila berada di khalayak ramai.
Cinta Selepas Bertunang
Kebanyakan orang yang bercinta
menyimpan hasrat untuk mempertahankan cintanya hingga ke jinjang pelamin.
Ber-tunang adalah cara yang dilakukan bagi menyempurnakan janji untuk
berkahwin. Ia adalah tanda pengabadian cinta yang suci dan tulus. Cinta dalam
pertunangan besar ujiannya kerana godaan dan cabaran yang datang dari pelbagai
pihak mampu merubah hati dan pendirian pasangan. Orang yang bertunang dikatakan
‘berdarah manis’ kerana mudah terjebak kepada gangguan perasaan dan terdedah
kepada pelbagai cabaran. Oleh sebab itu pertunangan tidak digalakkan untuk
tempoh yang lama mengikut adat masyarakat Melayu. Malah ia tidak perlu
dihebohkan kepada semua orang kerana dikhuatiri pasangan itu berubah hati dan
tidak jadi melangsungkan perkahwinan.
Bertunang
tidak sama dengan berkahwin. Bertunang adalah ikatan tetapi ia belum diteguhkan
oleh akad yang menghalal-kan segala perhubungan antara lelaki dan perempuan. Bertunang
adalah tempoh suai kenal bukan tempoh memadu asrama. Maka orang yang sedang
bertunang tidak boleh melanggar batas-batas agama kerana mereka masih belum
‘halal’ untuk sentuh-bersentuhan, cium-berciuman dan sebagainya. Pihak lelaki
perlu menyedari mereka belum lagi menjadi suami, begitu juga pihak perempuan
belum bergelar isteri. Maka berhati-hatilah dalam pergaulan kerana syaitan
sentiasa menjadi orang ketiga yang tidak jemu menggoda dan cuba merosakkan
cinta yang terbina.
Cinta Selepas Kahwin
Allah mengiktiraf cinta selepas
perkahwinan sebagai yang terbaik dan sumber segala kesenangan dan kasih sayang
sebagaimana yang dinyatakan di dalam Quran ayat 21 surah ar-Rum, “Dan di antara
tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah bahawa Dia menciptakan isteri-isteri bagimu
dari kalangan kamu sendiri supaya kamu dapat hidup tenang bersama mereka dan
diadakan-Nya cinta kasih sayang antara kamu. Sungguh, dalam yang demikian ada
tanda-tanda bagi orang yang menggunakan fikiran”.
Cinta
selepas perkahwinan adalah cinta yang diredai dan dituntut oleh ajaran Islam.
Cinta seharusnya berputik mekar selepas pasangan suami isteri itu mendapat
mandat yang agung untuk bercinta melalui ikatan yang sah dan diiktiraf oleh
agama dan juga anggota masyarakat. Bagi menyuburkan cinta selepas perkahwinan,
maka pasangan suami isteri haruslah menghormati hak-hak dan tanggungjawab
kepada yang dicintai dengan penuh kecintaan dan kasih sayang. Antara cara-cara
untuk menyuburkan rasa cinta sebegitu adalah:
1.Membuktikan
cinta melalui ketaatan, kasih sayang, pengorbanan dan kesungguhan memuliakan
pasangan dan rumah tangga yang dibina. Pasangan suami isteri hendaklah sentiasa
saling hormat-menghormati, menghargai perasaan dan tutur kata, sentiasa
mendoakan kesejahteraan keluarga dan berusaha memelihara amanah dan janji yang
dibuat.
2.Melahirkan
zuriat sebagai bukti cinta yang terjalin. Sekiranya ditakdirkan tidak mempunyai
zuriat, suami hendaklah bersabar dan tidak terburu-buru untuk berkahwin lain.
Seharusnya usaha dilipatkan gandakan untuk mendapatkan zuriat baik secara
tradisional mahupun secara perubatan. Sekiranya tidak berhasil, bolehlah
mengambil anak angkat sebagai langkah alternatif.
3.Mengasihi
dan menghormati ahli keluarga pasangan suami isteri. Bagi mewujudkan keluarga
yang harmonis, perhubungan kedua-dua belah pihak hendaklah dijaga dan
dipelihara sebaik mungkin. Sesekali, hadiah dapat dijadikan penghubung
kasih-sayang dan tidak lupa untuk bertanya khabar sekiranya tidak berkesempatan
untuk menziarahi keluarga yang jauh.
Seharusnya Cinta…
Insan yang beriman sering kali
meletakkan sandaran yang kuat dan kukuh kepada Allah. Maka, dalam soal
percintaan, sering kali mereka bersikap tenang dan menyerah diri kepada
ketentuan Allah. Ini adalah kerana mereka yakin cinta datang dari Allah dan
hanya Dia sahaja yang dapat menganugerahkan atau menghapuskan cinta itu. Allah
adalah Pencipta kepada cinta, dan setiap penciptaan-Nya ada matlamat dan sebab
kewujudannya, yang sering kali tidak cuba difahami oleh manusia.
Hanya segelintir sahaja yang
memahami hakikat didatangkan perasaan cinta itu, iaitu kembali kepada asal
matlamat kesal
matlamat kejadian manusia; untuk menyembah dan melakukan ketaatan kepada Allah.
Tidak kira apa bangsa ataupun, hakikat cinta adalah kembali
kepada mengagungkan dan membesarkan Tuhan yang menciptakan segala cinta. Agama
Islam, Kristian, Buddha, Hindu serta lain-lain agama tetap mengupas persoalan
cinta sebagai sumber kedamaian hati dan keamanan dunia.
Realiti cinta menuntut pengorbanan
daripada setiap individu yang berani untuk melibatkan dirinya dalam percintaan.
Cinta penuh dengan air mata, aliran perasaan yang amat deras dan getaran yang
mengilukan hati. Cinta juga penuh dengan keindahan, keselesaan, kehalusan
perasaan dan kenikmatan jasmani mahupun rohani. Ini adalah kerana, cinta tidak
hanya melibatkan perasaan semula jadi antara lelaki dan perempuan sahaja tetapi
juga melibatkan perhubungan antara manusia dan Tuhan, manusia dan alam, serta
manusia dan perbuatan.
Oleh yang demikian, insan yang
beriman dapat mengelakkan diri daripada melakukan kesilapan dalam pergaulan,
kekecewaan dalam percintaan, dan kehancuran dalam kehidupan. Mereka memahami
hakikat cinta dan jenis-jenis cinta yang wujud dalam dunia ini, lantas
menjadikan fikiran mereka lebih terbuka dan bijaksana dalam menangani soal
percintaan. Penderitaan, penyesalan, dan kebencian tidak dijadikan sebagai
sumber yang boleh memudaratkan diri dan hati, tetapi sebaliknya sebagai sumber
yang memberi kesedaran dan keinsafan akan hakikat kehidupan yang sebenarnya.
Dipetik daripada buku “PSIKOLOGI CINTA” terbitan
PTS Millennia Sdn Bhd
Tidak ada komentar:
Posting Komentar