Setiap anak wajib berbakti dan mentaati ibu bapa bertujuan membahagiakan kehidupan mereka melalui hari tua. Ajaran Islam meletakkan ibu bapa pada kedudukan yang mulia. Banyak bakti yang boleh dilakukan kepada ibu bapa. Bakti itu dalam bentuk metarial dan hubungan kasih sayang. Ini bersesuaian dengan fizikal ibu bapa yang semakin uzur dan memerlukan lebih perhatian.
Terdapat sekurang-kurangnya 10 bakti perlu
dilakukan setiap anak terhadap ibu bapa.
1. Memberi nafkah. Terdapat ibu bapa yang
berdepan dengan masalah kewangan. Mereka tidak dapat lagi melakukan tugas
seharian disebabkan faktor usia. Kalaupun berkerja, tetapi tidak mencukupi
untuk menampung perbelanjaan keluarga yang semakin meningkat.
Justeru menjadi tanggungjawab anak memberi
nafkah atau bantuan kewangan kepada ibu bapa. Sumbangan itu tidak seberapa
berbanding yang dibelanjakan ibu bapa untuk membesar dan mendidik anak.
2. Menyediakan tempat tinggal. Dalam kes ibu
bapa yang hilang tempat tinggal, atau tidak sesuai untuk didiami, adalah
menjadi tanggungjawab anak menyediakan tempat tinggal yang lebih sesuai kepada
ibu bapa.
Paling baik jika ibu bapa dibawa tinggal bersama
agar dapat menjamin keselamatan dan keperluan harian mereka diuruskan dengan
baik.
3. Memberi kasih sayang. Kasih sayang adalah
sebagai membalas kasih sayang yang selama ini telah dicurahkan ibu bapa. Kasih
sayang ibu dan bapa tidak pernah padam terhadap anaknya. Jadi seharusnya kasih
sayang itu dibalas dengan sebaik-baiknya.
Anak yang baik tidak melupai jasa dan kasih
sayang kedua ibu bapa. Anak soleh sentiasa memohon kepada Allah agar ibu bapa
mereka diberkati dan dicucuri rahmat.
Firman Allah bermaksud: ?Wahai Tuhanku!
Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih
sayang memelihara dan mendidikku ketika kecil.? (Surah al-Isra, ayat 24).
4. Memberi perhatian. Ibu bapa yang diabaikan
akan merasai kesunyian. Mereka terasa disisih dan dan seperti tidak
diperdulikan. Hal ini memberi tekanan perasaan dan menyebabkan kemurungan.
Keadaan ini jika berterusan memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan mental
ibu bapa.
Penerapan amalan memberi perhatian terhadap ibu
bapa perlu disemai, dibajai serta disuburkan dalam kehidupan masyarakat kita.
Kes anak yang membuang ibu bapa semakin meningkat. Anak memandang jijik
terhadap ibu bapa sendiri.
Banyak ibu bapa yang disisihkan dan dihantar ke
rumah rumah penjagaan orang-orang tua. Sukar diterima akal anak mendakwa tidak
mampu menjaga ibu bapa. Sedangkan, ibu bapa mampu menjaga dan membesarkan
beberapa orang anak.
5. Memenuhi permintaan. Ibu bapa seringkali
memerlukan bantuan anak untuk melaksanakan sesuatu keperluan. Permintaan itu
mungkin dalam bentuk kewangan, tenaga dan masa.
Memenuhi permintaan ibu bapa perlu diutamakan
berbanding melakukan tugas lain. Sesungguhnya, memenuhi permintaan ibu bapa
lebih baik berbanding melakukan ibadat sembahyang sunat, berpuasa sunat, dan seumpamanya.
Malah keutamaan berbakti kepada ibu bapa lebih
utama berjihad di medan perang. Diriwaytkan daripada Bukhri dan Muslim, Ibnu
Umar berkata: ?Saya telah bertanya kepada Nabi Muhammad: Apakah perbuatan
disukai oleh Allah??
Lalu baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya.
Kemudian apa?? tanya saya lagi. Baginda menjawab: Berbakti kepada kedua ibu
bapa. Saya bertanya: Apa lagi. Jawab baginda: Berjihad pada jalan Allah.
6. Melakukan apa yang disukai. Ibu bapa sudah
tentu mengharapkan anaknya melakukan sesuatu yang baik pada pandangan mereka.
Melakukan perkara yang tidak sukai ibu bapa bermakna melakukan perbuatan
derhaka.
Anak derhaka kepada ibu bapa tidak mendapat
keberkatan dalam kehidupannya. Sesiapa derhaka kepada ibu bapa disegerakan
balasan di dunia dan tidak terlepas di akhirat.
Sabda Rasulullah bermaksud: Dua kejahatan yang
disegerakan balasan di dunia ialah zina dan menderhaka kepada dua ibu
bapa.(Hadis riwayat Tirmizi).
Dalam hadis lain diriwayatkan al-Hakam
bermaksud: Semua dosa akan ditangguhkan Allah, yakni balasan menurut
kehendak-Nya hingga ke hari kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua ibu
bapa. Maka sesungguhnya Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa
hidupnya sebelum mati.
7. Bercakap dengan lemah lembut. Satu cara
menjaga perasaan ibu bapa ialah bercakap lemah lembut dengan mereka. Suara
hendaklah direndahkan dan jangan membantah permintaan mereka.
Firman Allah bermaksud: Tuhanmu telah
memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat
santun terhadap kedua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya, atau
kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau berani berkata cis!
terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi berkatalah
dengan sopan santun dan lemah lembut. (Surah al-Israk, ayat 23).
Sesungguhnya, anak ditegah membantah kata-kata
ibu bapa dengan suara tinggi atau bermaksud merendahkan kedudukan ibu bapa.
Lebih baik berdiam diri daripada berkata-kata yang mungkin menyinggung perasaan
ibu bapa. Kemudian jika ada kesempatan, gunakan cara yang lembut untuk
menjelaskan keadaan sebenar.
8. Menghadiahkan kejayaan. Ibu bapa sentiasa
mengharapkan kejayaan anak mereka. Anak hendaklah berusaha bersungguh-sungguh
untuk mencapai kejayaan agar dapat dikongsi kegembiraannya bersama-sama dengan
ibu bapa.
Jadi, jika memperoleh kejayaan dalam pelajaran,
mendapat pekerjaan, dinaikkan pangkat dan seumpamanya, seharusnya dimaklumkan
kepada ibu bapa. Ibu bapa dibawa bersama-sama dalam majlis untuk meraikan kejayaan
itu.
9. Meluangkan masa bersama-sama. Anak yang
tinggal berasingan dengan ibu bapa perlu kerap meluangkan masa mengunjungi ibu
bapa. Ibu bapa berasa senang menerima kunjungan dan menatap wajah anaknya.
10. Mendoakan kebaikan untuk ibu bapa. Anak perlu
sentiasa mendoakan kebaikan untuk ibu bapanya. Amalan mendoakan kebaikan untuk
ibu bapa perlu diteruskan biarpun ibu bapa telah meninggal dunia.
Sabda Rasulullah bermaksud: Apabila meninggal
seseorang itu, maka terputuslah segala amalannya, melainkan tiga perkara iaitu
sedekah jariah yang berterusan memberi manfaat, ilmu yang memberi kebaikan
diajarkan kepada orang lain dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan
kebaikan kepada kedua ibu bapanya. (Hadis riwayat Muslim).
Kebaikan dilakukan anak terhadap ibu bapa
sebenarnya amat kecil Anak tidak mampu untuk membalas jasa ibu bapa sepenuhnya
biarpun dia berbakti sepanjang hayatnya.
Gunakan kesempatan yang ada untuk melakukan
bakti terhadap ibu bapa sebaik mungkin. Masa untuk anak berbakti kepada ibu bapa
sebenarnya semakin suntuk. Lambat laun ibu bapa akan meninggal dunia.
Bertindaklah sebelum terlambat, selagi ibu bapa atau salah seorangnya masih
hidup.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar