Pernah kita dengar ungkapan bahawa suatu yang mahal
harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan di tempat yang tersorok dan
selamat. Barang kemas emas atau intan permata tentu tidak akan dibiarkan
bersepah-sepah di atas lantai sebaliknya ditempatkan tempat yang khas.
Bagi seorang lelaki yang bergelar suami,
barangan yang paling mahal dan berharga ialah isterinya. Selain isterinya mahal
kerana membelanjakan wang yang banyak untuk mendapatkannya, isteri juga adalah
penyelamat iman dan maruahnya. Jadi, isteri perlu dijaga dengan rapi supaya dia
tidak mudah keluar bebas hingga dapat dilihat orang lain begitu sahaja.
Wanita atau isteri pada zaman dahulu jarang
keluar rumah, apatah lagi untuk bersiar-siar di kota. Tetapi suasana zaman itu
sudah berlalu kini. Sebaliknya kalau wanita dan isteri asyik terperap di rumah
sahaja, dikatakan mereka tidak mengikut peredaran zaman.
Sebenarnya Islam tidaklah melarang wanita atau
Isteri daripada keluar rumah jika terdapat keperluan yang mendesak ke arah itu.
Mereka boleh keluar rumah dengan syarat menutup aurat dan jaga keterampilan
agar tidak terdedah kepada fitnah.
Untuk wanita dihadkan kadar aurat yang wajib
ditutup pada tempat-tempat tertentu. Berikut disenaraikan kadar aurat seperti
yang tetapkan oleh Islam.
1. Sewaktu seorang diri – auratnya ialah
bahagian dari pusat hingga ke lutut.
2. Sewaktu bersama perempuan atau mahram –
auratnya ialah bahagian di antara pusat dengan lutut.
3. Sewaktu bersama ajnabi – auratnya ialah
seluruh tubuhnya.
4. Sewaktu menghadap Allah (solat) – auratnya
ialah seluruh tubuh kecuali muka dan pergelangan tangan.
5. Sewaktu berhadapan dengan wanita bukan Islam
atau waktu bekerja – auratnya seluruh tubuh kecuali bahagian yang diperlukan
dalam suasana kerja.
Perlu dijelaskan di sini, aurat ialah bahagian
yang perlu ditutup atau dijaga daripada dilihat atau dicemari oleh orang lain.
Berdasarkan definisi itu, aurat ialah bahagian yang berharga bagi seseorang,
maka ia perlu dijaga dengan sebaiknya walaupun sekadar dipandang dari jarak
jauh.
Menyentuh soal aurat yang di antara pusat dengan
lutut, suka dijelaskan di sini bahawa bahagian tersebut perlu diambil kira
ketika duduk dan berjalan. Maknanya kalau seseorang wanita itu sekadar pakai
tuala mandi dari bahagian pusat sampai lutut sahaja, memang dibenarkan kerana
itu had auratnya. Tetapi bagaimana kalau dia berjalan atau duduk di atas
kerusi, sudah tentu lutut atau sebahagian pahanya dapat dilihat oleh orang
lain. Di sinilah yang perlu diberi perhatian.
Tetapi lazimnya wanita Melayu suka pakai tuala
mandi dari paras payu dara hingga ke bahagian paha. Kalau dia ketika itu
memakainya di hadapan suami, tidak salah kerana tiada had aurat ketika bersama
suami. Tetapi bagaimana kalau dalam rumah itu ada anak, bukankah auratnya ialah
di antara pusat dengan lutut. Jadi, elakkan berpakaian seperti itu di hadapan
anak-anak apatah lagi di hadapan tetamu.
Bayangkan kalau di dalam rumah sendiri, tidak
boleh pakaian seperti itu, bagaimana sikap sebahagian wanita yang suka pakai
skirt yang pastinya di atas lutut, dan ada juga yang pakai seluar pendek. Jelas
pakaian itu tidak menutup aurat seperti yang dikehendaki Islam.
Kita seharusnya boleh berfikir, kalau sewaktu
bersendirian atau bersama wanita Islam atau mahram, berpakaian seperti itu
masih termasuk dalam kategori mendedahkan aurat betapa kalau berhadapan dengan
orang lain di luar rumah. Inilah yang jarang diberi perhatian oleh wanita pada
hari ini.
Selain itu, tudung yang dipakai oleh wanita pada
hari, sebahagiannya sudah lebih glamor daripada mentaati perintah Allah. Lihat
sahaja, tudungnya tidak menutup bahagian dada dan lehernya. Malah sesetengahnya
pakai tudung tetapi tangannya tidak ditutup. Dalam Islam aurat bukan rambut
sahaja tetapi seluruh tubuh badan seperti yang dijelaskan di atas.
Walau bagaimanapun usaha mereka hendak pakai
tudung itu, amat dihargai. Semoga Allah menilainya mengikut kadar usahanya.
Namun pada masa yang sama, wanita tersebut perlu berusaha untuk menutup aurat
sepenuhnya.
Selain itu, aurat lelaki ada sedikit perbezaan,
terutama di sudut bentuk pakaian. Perkara ini akan dihuraikan nanti sekali gus
menampakkan beberapa kesalahan lelaki dalam hal ini.
Senarai aurat bagi lelaki adalah seperti
berikut:
1. Sewaktu bersendiri – auratnya ialah bahagian
kemaluan qubul dan dubur. Maknanya cukup dengan pakai seluar dalam.
2. Sewaktu sesama lelaki dan muhram – auratnya
ialah bahagian di antara pusat dengan lutut.
3. Sewaktu berhadapan dengan ajnabi – auratnya
ialah di antara pusat dengan lutut
4. Sewaktu menghadap Allah (solat) – auratnya
ialah di antara pusat dengan lutut.
Umumnya aurat lelaki agak longgar daripada
wanita. Namun ramai juga lelaki yang tidak memahaminya lalu terjebak dalam
pendedahan aurat.
Artikel : Ustaz Ahmad Baei Jaafar
baei.blogspot.com
Tidak ada komentar:
Posting Komentar